our sponsor

Followers

Sunday, June 11, 2017

'Tajul' antara tiga peragut ditahan

Petaling Jaya: Bergerak secara solo dengan menyasarkan individu berjalan sendirian di tepi jalan sebagai mangsa untuk melakukan ragut. Itu taktik dilakukan tiga lelaki yang aktif melakukan kegiatan ragut secara bersendirian di sekitar daerah Petaling Jaya.

Bagaimanapun, mereka ditumpaskan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hasil serbuan di tiga lokasi bermula 3 hingga 6 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, semua suspek berusia 20 hingga 30-an ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, serbuan pertama menahan suspek dikenali dengan gelaran ‘Tajul’ yang mempunyai empat rekod jenayah lampau di sebuah rumah di Taman Impian Baiduri, Petaling Jaya, pada 3 Jun.
“Sehari selepas itu, kami menyerbu sebuah rumah di Dataran Sunway, Kota Damansara dan menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam tujuh kes ragut sejak dia mula bergiat aktif April lalu.

“Pada 6 Jun pula, kami menyerbu sebuah rumah di Taman Sejahtera, Kuala Lumpur dan menahan seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah lampau disyaki terbabit dalam enam kes ragut di daerah ini.

“Hasil penahanan suspek, polis merampas tiga motosikal membabitkan dua model Yamaha 135 LC dan 125Z, tiga rangkai kunci, lapan keping wang kertas asing (AS600), tiga telefon pintar, beg tangan dan beberapa dokumen peribadi dipercayai milik mangsa,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati suspek melakukan kegiatan jenayah terbabit secara sendirian.

Katanya, hasil penahanan suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes ragut yang berlaku di daerah berkenaan.
“Semua suspek direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut,” katanya.

*sumber: Harian Metro

No comments:

Related Posts with Thumbnails